Tanjong Pagar tanahair Islam
Tanjong Pagar, di tengah-tengah bandaraya Singapura. Ia bukan isu stesen, pembangunan atau korporat, akan tetapi ia adalah isu tanah, kedaulatan dan maruah agama dan umat.
Dalam perjuangan umat sepanjang sejarah kemanusiaan, penambahan atau pengurangan tanah atau wilayah jajahan adalah salah satu petujuk (indicator) akan turun naiknya kekuatan dan ketamadunan umat tersebut. Memerintah bumi merupakan salah satu kemuncak kejayaan sesebuah umat dan merupakan anugerah Allah yang paling besar apabila Dia hendak mengagungkan mereka.
FirmanNya bermaksud, “Kami hendak menganugerahkan kepada mereka yang tertindas di muka bumi dan Kami hendak menjadikan mereka pemerintah, dan Kami hendak menjadikan mereka yang mewarisi (wilayah dan negara)”.
Sabda Rasulullah saw kepada Buhaira bin Firas, seorang kafir, yang meminta digilirkan kuasa pemerintahan kepadanya selepas Rasulullah saw, bermaksud, “Sesungguhnya bumi ini milik Allah. Dia akan mewariskannya kepada siapa yang Dia kehendakki. Kesudahannya nanti adalah untuk orang-orang yang beriman”.
Papan tanda “Selamat Datang ke Malaysia” di tanah Tanjong Pagar menunjukkan di sana masih ada tanahair Islam yang mesti dipertahankan.
Tanjong Pagar adalah sekeping tanah Malaysia yang terletak di tengah-tengah bandaraya Singapura. Ia merupakan tanah warisan pemerintahan Islam turun temurun sejak datangnya Islam ke Kepulauan Tanah Melayu. Apabila Tanjong Pagar pernah diperintah oleh Islam di bawah sistem Islam walau sebentar, apatah lagi berabad-abad lamanya, ia merupakan salah satu dari tanahair Islam yang mesti dipertahankan oleh umat Islam selamanya. Namun pada 24 Mei 2010 yang lalu, tanah Islam yang dicagar dan sepatutnya bertahan selama 999 tahun di bawah tadbir umat Islam Malaysia kini telah dipersetujui bersama akan berakhir pada 1 Julai 2011, lebih 900 tahun lebih awal dari tarikh yang sepatutnya.
Pulau Batu Putih, Johor.
Oleh itu isu mempertahankan tanah atau wilayah adalah terlebih dahulu merupakan isu kedaulatan dan maruah, sebelum isunya berkait dengan pembangunan dan dunia koporat. Di atas asas inilah, kita meratapi jatuhnya salah satu tanahair Islam, Pulau Batu Putih ke tangan Singapura pada 23 Mei 2008 yang lalu walaupun ia hanya merupakan sebuah kumpulan batu kecil di tengah lautan berhampiran negeri Johor yang tidak mempunyai nilai pembangunan dan korporat yang setanding dengan pulau dan tanah yang lain.
Najib (PM Malaysia) dan Lee Hsien Loong (PM Singapore).
Jika seorang Islam murtad, meskipun beliau dari orang kebanyakan sahaja, hanya seorang diri beliau tidak akan memberi kesan ketara kepada kekuatan dan ekonomi umat Islam secara kesuluruhan, akan tetapi kemurtadannya memberi kesan dan menconteng maruah di muka umat Islam itu sendiri. Hakikatnya isu Tanjong Pagar, sepeti mana isu Pulau Batu Putih, Andalus, Palestin dan tanahair-tanahair Islam yang lain adalah merupkan isu kedaulatan dan maruah yang difardhukan oleh Islam untuk kita mempertahankannya yang akan dipersoalkan oleh generasi Islam akan datang dan disoal oleh Allah swt di Hari Kiamat.
Mereka yang kurang memahami Fiqh Islam akan mengatakan bahawa umat Palestin di Gaza berjuang mempertahankan Masjid Al-Aqsa. Mereka tersilap. Tiada Masjid Al-Aqsa di Gaza, Palestin. Masjid Al-Aqsa terletak di Tebing Barat, Palestin. Akan tetapi hakikatnya, umat Islam Palestin mengorbankan ribuan syuhadak dan jutaan yang sanggup berlapar dikepung di setiap sempadannya semata-mata kerana mempertahankan tanahair Islam dari dijajah dan maruah agama Islam dari dicemari.
Sejarah manusia menunjukkan mana-mana umat yang leka dan lalai, tidak ada daya juang dan kesanggupan untuk berkorban, akan diliputi kehinaan dan akan kehilangan wilayah dan tanah jajahan mereka sedikit demi sedikit. “Allah tidak akan merubah nasib mereka melainkan mereka merubah apa yang ada di dalam diri mereka sendiri” (Al-Quran). Sebaliknya jika mereka berubah, mencintai dan berusaha ke arah kehebatan dan keagungan, Allah swt mengurniakan mereka tanah-tanah jajahan yang baru. (Foto: Konsert Search & Wings di KL yang dihadiri 20,000 penonton Melayu Islam Malaysia pada 1 Mei 2010. Tiga minggu selepas itu mereka kehilangan Tanjong Pagar, sekiranya mereka menyedari…).
Isu mempertahankan tanah, maruah dan kedaulatan bukan semata-mata menyangkut pemerintah dan kerajaan, akan tetapi ia juga adalah neraca dalam menilai sesebuah umat. Pemerintah tidak lain melainkan cermin kepada umatnya sendiri. Kerajaan yang lalai adalah lahir dari umat yang lalai dan megambil kesempatan dari kelalaian mereka. “Firaun memperbodohkana kaumnya lalu mereka mentaatinya. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik” (Al-Quran).
“Sesungguhnya membina umat-umat, mendidik masyarakat, berusaha mencapai cita-cita dan memenangkan prinsip-prinsip menuntut dari umat yang berusaha ke arah itu atau dari kumpulan yang menyeru ke arah tersebut sekurang-kurangnya memiliki kekuatan jiwa yang hebat yang dapat dilihat dalam beberapa aspek: Kemahuan yang kuat yang tidak dihinggapi penyakit lemah, kesetiaan yang teguh yang tidak dikotori oleh sikap kompromi atau pengkhianatan, pengorbanan yang besar yang tidak dihalang oleh sikap tamak atau bakhil, mengenali, meyakini dan menghormati prinsip yang memeliharanya dari kesilapan, penyelewengan, bertolak ansur atau tertipu oleh pihak lain” [Imam Hasan Al-Banna: Risalah Ke Arah Mana Kita Mengajak Manusia].
Adalah tidak terlewat bagi umat Islam untuk bangkit dan sedar dari lamunan mereka yang panjang. Allah swt tidak menciptakan mereka lalu membiarkan mereka tanpa pedoman. Sebaliknya Allah swt menurunkan Al-Kitab sebagai panduan, mendatangkan Ar-Rasul sebagai ikutan dan mengurniakan mereka pelbagai nikmat dan kelebihan untuk mereka berlumba-lumba dalam berjuang…
Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan