Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“HIDUP BERKELUARGA SATU IBADAH”
(16 JULAI 2010 / 4 SYA,BAN 1431H)
MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,
Bersempena dengan perhimpunan kita untuk menunaikan fardhu Jumaat pada hari ini marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita beroleh kebahagian di dunia dan kesejahteraan di akhirat yang kekal abadi, insya-Allah. Tajuk khutbah pada hari ini ialah: HIDUP BERKELUARGA SATU IBADAH.
MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,
Budaya berzina terus menjadi isu panas di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kes-kes pengguguran kandungan, pembahagian kondom percuma, pil pencegah hamil percuma, pembuangan bayi, rasuah seks dan pembunuhan. Walaupun budaya keji ini dibenci oleh semua agama tetapi hanya Islam sahaja yang mengenakan hukuman yang paling berat kepada penzina iaitu direjam sampai mati jika pernah berkahwin dan disebat 100 kali jika dilakukan oleh mereka yang belum pernah berkahwin. Hukuman keras yang dikenakan oleh Islam ini amat waras kerana perbuatan berzina adalah perbuatan yang menjatuhkan harga diri manusia serta melahirkan status nasab atau keturunan hina yang berpanjangan.
Pada hari Jumaat yang mulia ini mimbar mengingatkan bahawa pergaulan bebas adalah punca utama penzinaan. Ketahuilah bahawa seorang lelaki yang mendekati wanita pada dasarnya ia telah mendekati pintu perzinaan. Seorang lelaki yang memberi tumpuan penuh pandangan kepada wanita bererti ia telah mendekati perzinaan. Begitu pula dengan mereka yang senang melayari gambar-gambar porno di internet, menonton video lucah adalah mendorong kepada perzinaan. Termasuk juga orang yang sudah bertunang dan menyangka bahawa setelah bertunangan ia boleh melakukan apa saja terhadap calon isteri adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Firman Allah dalam surah al-Israa’ ayat 32:
Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.”
Kita perlu ingat bahawa orang yang berzina akan menerima azab siksa yang sangat pedih di neraka Jahannam. Kepanasan api neraka adalah 70 kali ganda kepanasan api yang ada di atas dunia ini. Dalam beberapa hadith disebutkan di akhirat kelak, Allah SWT tidak menegurnya, tidak menyapanya dan tidak memandangnya. Ketika perbuatan berzina berleluasa dan pintu-pintu menuju perzinaan juga terbuka luas yang kelihatan sukar disekat, maka ketahuilah bahawa musibah bersiap sedia datang menerpa kita. Seberapa dekat kita dengan pinti-pintu menuju perzinaan, sedekat itu pulalah musibah yang akan diturunkan oleh Allah SWT. Musibah mungkin tidak menimpa diri kita tetapi akan menimpa anak cucu kita misalnya turut terjebat dengan amalan perzinaan.
Nafsu seks adalah fitrah anugerah Allah SWT kepada manusia untuk mewujudkan kasih sayang dan mendapatkan ketenangan dalam kehidupan. Bagaimana pun perlepasaan dan pembebasan hawa nafsu hendaklah dilakukan secara halal iaitu melalui perkahwinn yang sah.
Hadith dari Muslim meriwayatkan Abu Zarr al-Ghifari berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “ Sesungguhnya setiap kali seseorang itu bertakbir adalah satu sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyeru yang makruf itu adalah sedekah, dan menghalang yang munkar juga sedekah, melakukan hubungan kelamin suami isteri juga adalah sedekah”. Lalu kami bertanya kepada Rasulullah, “ adakah kami mendatangi isteri-isteri kami baginya mendapat pahala?. Rasulullah bersabda “ Tidakkah kamu sedar jika melakukan syahwat kepada yang haram itu berdosa, maka sebaliknya bila melakukan perbuatan yang halal itu pastilah berpahala”.
Para sahabat RA apabila mendengar sabda Rasulullah itu agak terkejut kerana mereka tidak terfikir sebelum itu dan agak pelik juga. Lantaran itu mereka pun segera menyusulkan pertanyaan kepada Rasulullah dengan kehairanan: “Melakukan hubungan kelamin antara suami isteri pun diberi pahala”.
Rasulullah SAW menjelaskan dengan mudah, ‘jika seseorang melakaukan zina maka mereka berdosa, dimasukkan ke dalam neraka kerana persetubuhan haram. Tentulah tidak adil jika tidak diberi pahala bagi seseorang yang berusaha melakukan pernikahan yang halal bagi menghindarkan dari melakukan zina. Jika orang yang berzina itu menerima padah masuk neraka maka logiknya orang yang melakukan persetubuhan halal itu diberi pahala dan seterusnya memasuki syurga Allah”.
Hubungan kelamin suami isteri itu seperti juga makan minum, hukum asalnya adalah harus. Maka setiap yang harus itu untuk menjadikan dia sebagai sesuatu ibadah yang berpahala hendaklah disertai dengan niat, menjaga adab-adab hubungan kelamin seperti janganlah mendatangi isteri kamu seperti seekor binatang yang menerkam mangsanya, tidak mengadakan hubungan kelamin pada waktu haid, nifas dan sebagainya. Tidak mencerita atau merakam apa yang berlaku semasa hubungan kelamin serta menjaga kemaluan masing-masing.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Selari dengan hidup berkeluarga itu satu ibadah, maka pada dasarnya hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah tidak membebankan. Berdasarkan hadith-hadith Rasulullah bahawa sekurang-kurangnya majlis walimah atau kenduri kahwin adalah menyembelih seekor kambing, kadar mas kahwin dan hantaran yang rendah adalah dituntut kerana membawa keberkatan dalam perkahwinan dan perlu mengelakkan pembaziran.
Bagaimana pun kerana mempertahankan adat, menjaga status dan perbuatan menunjuk-nunjuk, maka menyebabkan perbelanjaan mas kahwin, hantaran dan kenduri kendara melambung tinggi. Walaupun menjaga adat atau status ini memberi kepuasan kepada ibubapa tetapi ia amat membebankan anak-anak kita, mereka memikul beban hutang atau kemungkinan mereka menagguhkan perkahwinan yang akhirnya membuka laluan melakukan perzinaan, mengandung anak luar nikah dan membuang bayi.
Sekali lagi mimbar menyeru ibubapa dan jemaah sekalian marilah kita mengikut sunnah dan bersederhana dalam melaksanakan majlis perkhwinan, agar dengan pendekatan ini tidak akan membebankan mana-mana pihak dalam membina ikatan perkahwinan serta mengelak dari kancah kemaksiatan. Jadikanlah hidup berkeluarga sebagai satu ibadah yang sentiasa di rahmati Allah SWT.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam surah al-Ruum, ayat 21:
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan