Jumaat, 22 April 2011
Koleksi Tulisan DR.Zulkifli Mohamad Albakri Hidayah Milik Allah
Hidayah milik Allah
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Mukadimah
Sheikh al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT menerangkan bukti-bukti kekuasaan-Nya, menarik perhatian golongan pengingkar agar memerhatikan tanda-tanda kekuasaan dan kemampuan-Nya mengatur alam ini, kemudian Dia mencela keingkaran dan kegagalan mereka dalam kebatilan dengan hujah yang terang dan bukti jelas, lalu disusuli dengan perintah-Nya kepada Rasulullah SAW agar mengingatkan mereka dengan bukti-bukti ini yang tidak perlu diragukan lagi".
Firman Allah SWT: Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan.
Ibn Kathir berkata: "Iaitu beri peringatanlah kepada manusia dengan apa yang aku utuskan kepada mereka".
Syed Qutub menambah: "Oleh itu peringatkan mereka dengan alam akhirat dan segala isinya. Dan peringatkanlah mereka dengan kejadian dunia dan segala isinya. Tugasmu adalah memberi peringatan.
"Inilah sahaja batasan tugasmu dan ini sahaja perananmu dalam dakwah. Selain dari itu tiada lagi tugas dan tanggungjawabmu kerana engkau diberi kemudahan dan ditugaskan melaksanakannya".
Firman Allah SWT: bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).
Al-Mawardi menukilkan tiga pendapat ulama berkenaan tafsiran ayat ini, iaitu:
* Kamu bukanlah penguasa yang boleh mengalahkan seseorang. Inilah pendapat al-Dahak.
* Kamu bukanlah orang yang bersifat perkasa. Inilah pendapat Ibn Abbas.
* Kamu bukanlah Tuhan. Inilah pendapat al-Hasan.
Ini semua menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak mampu memaksa mereka beriman.
Al-Maraghi berkata: Ia memberi maksud wahai Muhammad, engkau adalah penyeru dan tidak mempunyai kuasa untuk menundukkan hati mereka. Allah SWT sendiri yang menguasai mereka dan mempunyai kekuasaan atas jiwa mereka.
Oleh sebab itu, sesiapa yang berpaling daripada peringatan dan mengingkari kebenaran yang dikemukakan kepadanya, Allah SWT akan mengazabnya di akhirat kelak.
Kadang-kadang Allah SWT menambahkannya dengan seksa di dunia seperti diperangi, ditawan keluarganya, dijajah harta kekayaannya dan bencana-bencana yang lain.
Firman Allah SWT: akan tetapi sesiapa yang berpaling (dari kebenaran) serta ia kufur ingkar.
Ibn Kathir berkata: "Berpaling daripada amalan dengan segala rukunnya dan kufur dengan kebenaran sama ada melalui hati atau lisannya".
Al-Mawardi berkata: "Ada dua tafsiran ulama, iaitu berpaling daripada kebenaran dan kufur dengan nikmat. Sedangkan yang kedua pula berpaling daripada mengikut rasul dan kufur dengan Allah SWT. Inilah pendapat al-Dahak.
Firman Allah SWT: maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya.
Sayid Qutub berkata: "Mereka pasti akan pulang kepada Allah dan Allah tetap akan menghukum mereka".
Al-Maraghi berkata: "Kadang-kadang Allah SWT menambahkannya dengan seksa di dunia seperti diperangi, ditawan keluarganya, dijajah harta kekayaannya dan bencana-bencana yang lain".
Firman Allah SWT: Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka, selain dari itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka.
Ibn Kathir berkata: "Mereka akan kembali pada Allah dan Kami pasti menghisab serta membalas segala amalan mereka. Jika baik dibalas baik dan jika buruk dibalas buruk".
Al-Maghari berkata: "Tidak ada jalan untuk melarikan diri bagi orang yang berpaling dan tidak ada jalan melepaskan seksa yang dijanjikan itu. Ini kerana mereka bakal kembali kepada-Ku".
Sesungguhnya benarlah firman Kami akan menyeksa mereka dan menghisab semua perbuatan yang telah mereka kerjakan.
Firman ini sebagai penghibur hati rasul-Nya dan menghilangkan kesedihan dan penderitaannya akibat pendustaan mereka kepadanya dan penentangan mereka yang berterusan terhadap baginda.
Penutup
Syed Qutub berkata: "Dengan penjelasan ini peranan Rasulullah SAW di dalam dakwah dan peranan para pendakwah yang datang selepas beliau telah dihadkan pada batasnya yang tertentu, iaitu tugas engkau ialah memberi peringatan.
"Selepas itu terserah kepada Allah urusan menghisabkan amalan-amalan mereka. Mereka tetap akan kembali kepada Allah. Mereka tidak mungkin melepaskan diri daripada hisab dan hukuman Allah.
"Namun, hendaklah difaham bahawa setengah dari tugas menyampaikan dakwah adalah menghapuskan halangan dan rintangan supaya dakwah sampai kepada manusia.
"Inilah tugas jihad yang difahamkan daripada al-Quran dansirah Rasulullah SAW tanpa kecuaian dan keterlaluan".
Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan hambanya yang soleh sentiasa berpegang dengan petunjuk dan hidayah-Nya. Amin.
Subscribe
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan