Abu Anas Madani
Raudah Perkongsian Ilmu & Pengembangan Wacana
Ujian, Sumpah, Qadzaf & Mubahalah. Dr Wahbah
Posted by Abu Anas Madani on 17 Mei 2011
Ucapan Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily di Shah Alam.
Hakikat Ujian Kepada Orang Yang Beriman
Alhamdulillah, pada 14/5/2011 Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily telah sudi untuk menyampaikan syarahan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. Syarahan yang bertajuk “Sumpah & Qazaf” itu telah bermula tepat jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 4.00 petang. Tuan Guru Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri telah dijemput sama pada majlis tersebut sebagai penterjemah syarahan.
Sebelum Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily memulakan syarahannya, beliau memohon kepada ALLAH Ta`ala agar kita semua diberikan kefahaman dalam agama, ditambahkan ilmu agama, diberi keberkatan dan dijauhi dari segala kejahatan.
Beliau mengingatkan para hadirin bahawa kehidupan di dunia ini penuh dengan bermacam-macam ujian. Ujian-ujian itu mungkin datang samada disebabkan oleh diri sendiri atau boleh juga disebabkan oleh perbuatan orang lain.
ALLAH `Azza wa Jalla telah menjadikan dunia sebagai tempat ujian dan fitnah bagi sekalian manusia. Sheikh Dr Wahbah telah memetik firman ALLAH dari surah al-Baqarah dari ayat 155 hingga 157 seperti berikut:
{وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأمْوَالِ وَالأنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ }
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,”
{الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ}
“(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun”.
{أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ}
“Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Dalam menuju mardhatiLLAH, manusia akan sentiasa diuji. Ia merupakan sunnatuLLAH hidup di dunia ini. Sheikh Dr Wahbah menasihatkan agar muslim janganlah terlalu berasa sedih dan gundah-gulana dengan ujian ini. Kerana melalui ujian-ujian inilah seseorang akan memperolehi pahala yang banyak, imannya akan bertambah dan darjatnya akan ditingkatkan di sisi ALLAH Ta`ala.
Melalui ujian-ujian ini juga, maka dapat dibezakan siapakah di kalangan hamba-hamba-NYA yang beriman, yang bertaqwa, yang munafiq dan yang fasiq.
Beliau seterusnya mengingatkan bahawa ujian dan fitnah yang menimpa setiap manusia adalah berlaku dengan keizinan dari ALLAH. Di dalamnya terdapat banyak hikmah yang manusia tidak tahu.
Datangnya ujian dan fitnah tidak akan merobohkan keimanan seseorang yang kuat Imannya kerana kekuatan imannya seumpama teguhnya sebuah bukit yang tidak dapat diganggu-gugat. Justeru, mempunyai keimanan yang teguh adalah aset utama seorang mukmin berhadapan dengan ujian dan fitnah.
Samada ujian itu datang dalam bentuk kecil atau besar, samada dipenjara, dicerca dan sebagainya, kebaikan tetap akan berlaku kepada orang yang beriman sekiranya dia bersabar dan memahami hakikat sebuah ujian. Hal ini ada disabdakan oleh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam:
“Memang sangat menakjubkan keadaan orang yang beriman itu, kerana segala urusannya sangat baik baginya dan untuk itu tidak terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana apabila mendapat kesenangan dia bersyukur, maka yang demikian itu sangat baik baginya. Dan apabila dia tertimpa kesusahan, dia sabar, maka yang demikian itu sangat baik baginya.” (HR Muslim)
Jika kita kembali merenung sejarah-sejarah yang lalu, kita akan dapati bahawa ujian dan fitnah banyak menimpa ke atas orang-orang yang mulia dan utama di sisi agama. Para rasul, nabi, syuhada’, aulia’ dan ulama’ adalah golongan yang paling banyak menerima ujian dan besar pula fitnah yang menimpa ke atas mereka. Tentunya ini memberi isyarat kepada kita bahawa semakin tinggi darjatnya di sisi ALLAH, semakin hebat ujian yang diterimanya. Dan ini akhirnya menatijahkan ganjaran yang tiada tolok banding hebatnya dari ALLAH `Azza wa Jalla kelak.
Untuk memahami hakikat ini, orang-orang yang beriman mestilah jangan berhenti dari menimba ilmu agama, mendalami ilmu-ilmu agama dan berusaha untuk memahaminya. Kerana dengan ilmulah, seseorang akan disuburi dengan sifat taqwa, seterusnya dapat memberikan reaksi yang betul menurut kehendak agama terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya. Ketahuilah orang yang paling taqwa iaitu takut kepada ALLAH ialah para `ulama’, iaitu orang-orang yang berilmu dan faham ilmu agama.
Fitnah dan ujian akan sentiasa singgah dalam kehidupan insan. Samada suka atau tidak suka ia tetap menjadi rencah dalam kehidupan dunia yang sementara ini. Yang menjadi nilaian di sisi ALLAH ialah bagaimana reaksi kita terhadap ujian itu. Sabarkah? Marahkah? Betulkah? Atau salahkah tindakan kita? Semuanya nanti akan dihisab oleh ALLAH Jalla wa A`la pada Hari Kebangkitan kelak.
Sheikh Dr Wahbah mengakhiri mukaddimah syarahannya dengan mengingatkan para hadirin bahawa pada setiap kesusahan ini, pasti akan mendapat kesenangan dari ALLAH Subhanahu wa Ta`ala. Justeru, sangka baiklah dengan ALLAH dan bersabarlah. ALLAH Ta`ala akan bersama dengan orang-orang yang sabar.
Sengaja beliau memulakan syarahan tersebut dengan menyentuh perihal hakikat ujian dan fitnah, dan bagaimana peranan iman dan ilmu sangat penting dalam hal ini. Ini supaya para hadirin dipasakkan dengan asas yang betul dan tepat menurut kehendak agama ketika berhadapan dengan isu seumpama ini.
Sumpah, Qadzaf & Mubahalah.
Selepas Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily menyampaikan tentang hakikat fitnah dan ujian serta peranan iman dan ilmu untuk berhadapan dengannya di dalam muqaddimah syarahan, beliau seterusnya memberikan tiga contoh peristiwa untuk menerangkan perihal tajuk yang diberi, iaitu:
1-Tuduhan zina yang dilemparkan kepada saidatina `A’isyah radhiAllahu `anha oleh kepala munafiqin, `Abdullah bin Ubay bin Salul.
2-Tuduhan zina oleh seorang suami kepada isterinya.
3-Mubahalah antara orang Kristian Najran dengan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.
Tuduhan Zina
Di dalam peristiwa pertama iaitu tuduhan zina terhadap saidatina `A’isyah radhiAllahu `anha oleh `Abdullah bin Ubay bin Salul, Sheikh menerangkan bahawa ALLAH telah menjelaskan terdapat sebelas ayat di dalam al-Quran, menetapkan bahawa mana-mana tuduhan zina terhadap orang lain yang terpelihara kehormatannya mestilah dikemukakan dengan empat saksi.
Jika pihak yang menuduh tidak dapat mengemukakan empat saksi, maka pihak yang menuduh ini dikira sebagai pendusta atau munafiq di sisi ALLAH Subhanahu wa Ta`ala. Nas secara qat`i telah mensyaratkan perlunya empat saksi dalam hal penuduhan zina seperti ini. Ia mesti dipatuhi.
Adapun tentang penggunaan teknologi moden seperti telefon bimbit, video dan sebagainya, ia tidak boleh diterima sebagai dalil dan saksi di dalam penghakiman syara` dalam isu seperti ini. Pihak yang menuduh, wajib mengemukakan empat saksi. Kegagalan mengemukakan empat saksi oleh pihak penuduh mengakibatkan si penuduh boleh dikenakan hukuman 80 kali sebatan dan dikira sebagai fasiq dan tidak beriman. Penyaksiannya tidak diterima selama-lamanya.
Mula`anah atau Li`an
Di dalam contoh kedua, iaitu dalam peristiwa seorang suami telah menuduh isterinya berzina; walaupun secara asasnya seseorang mesti mengemukakan empat saksi apabila menuduh orang lain berzina, namun dalam hal ini si suami tersebut dibenarkan untuk bermu`alanah tanpa mengemukakan empat saksi.
Dalam kaedah Mula`anah sebagaimana difirmankan ALLAH dalam surah an-Nur di dalam ayat 6 hingga 9, si suami bersumpah dengan nama ALLAH sebanyak empat kali bahawa tuduhan beliau adalah benar. Pada sumpah kelima si suami menyatakan bahawa laknat ALLAH (laknatiLLAH) akan menimpanya jika dia menipu.
Jika si isteri yang dituduh itu menolak tuduhan suaminya, maka si isteri pula turut bersumpah dengan nama ALLAH sebanyak empat kali bahawa tuduhan suaminya itu tidak benar. Dan sumpah yang kelima si isteri menyatakan kemurkaan ALLAH (ghadabALLAH) akan tertimpa ke atasnya sekiranya dia berbohong.
Apabila masing-masing tidak mahu mengaku salah dan saling laknat-melaknat, maka qadhi akan memisahkan mereka berdua. Mereka bukan lagi sebagai suami isteri. Dan mereka tidak boleh meruju` selepas itu atau kembali berkahwin selama-lamanya.
Mubahalah
Sheikh Wahbah telah menerangkan bahawa pada zaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, terdapat satu golongan Kristian dari Najran yang selalu berusaha mendatangkan rasa syak kepada ummat ISLAM. Dakwah dan hujah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam tidak mahu mereka terima. Mereka telah mendakwa bahawa Isa `alaihissalam mempunyai sifat ketuhanan di dalam dirinya dan menyatakan bahawa merekalah golongan yang benar. Mereka tetap berdegil dengan pendapat mereka.
ALLAH Subhanahu wa Ta`ala telah menyuruh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam agar bermubahalah iaitu saling laknat-melaknat di antara pihak Nabi dan golongan Kristian dari Najran itu. Hal ini ada diceritakan di dalam al-Quran di dalam surah ali-`Imran, ayat 61. Selepas berfikir dengan panjang dan atas nasihat ketua paderi Kristian Najran tersebut, maka ajakan bermubahalah itu terpaksa mereka elakkan. Mereka risau jika Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam ini benar-benar Rasul, maka akibat dari mubahalah itu nanti akan menyebabkan mereka dan keluarga serta keturunan mereka akan ditimpa bala bencana.
Walaupun mubahalah di atas adalah berkaitan aqidah, namun menurut Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily mubahalah juga boleh dilakukan di dalam hal selain aqidah. Mubahalah dibenarkan sekiranya pihak yang berselisih tetap berdegil dengan hujah masing-masing.
Jika ingin bermubahalah, kedua-dua pihak mestilah di kalangan orang yang adil dan tidak fasiq. Penyaksian orang yang fasiq tidak diterima di dalam ISLAM kerana mereka adalah orang yang menyeleweng dari ajaran ISLAM.
Penyaksian hanya boleh dilakukan oleh orang yang adil. Tiga ciri-ciri orang yang adil yang dinyatakan oleh Sheikh Wahbah ialah:
a-Tidak melakukan dosa besar.
b-Tidak berkekalan melakukan dosa kecil.
c-Tidak melakukan perkara-perkara yang mencarik maruahnya.
Sekiranya kedua-dua pihak yang ingin bermubahalah adalah adil, thiqah, taat kepada suruhan ALLAH Ta`ala, meninggalkan dari dosa-dosa dan selalu menjaga maruahnya, maka layaklah bermubahalah. Sekiranya tidak sekufu, maka tidak perlulah bermubahalah.
Isu Video Seks.
Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily ditanya tentang bolehkah video dijadikan sebagai bahan bukti pendakwaan perlakuan seks? Beliau menjawab bahawa teknologi terkini seperti video tidak boleh digunakan, malah tertolak. Kerana banyak unsur penipuan boleh dimasukkan ke dalamnya.
Ditanya tentang DNA pula, beliau mengatakan bahawa bilangan pakar DNA yang terdapat di seluruh dunia sangat terbatas dan bilangannya terlalu kecil, malah mereka ini tidak boleh dipercayai. Menurut beliau lagi, Majma` Feqh Sedunia telah membuat keputusan bahawa kaedah DNA tidak diterima sebagai pembuktian penghakiman.
Tambahan pula, pakar-pakar perundangan dan hakim seluruh dunia pun memang tidak menerima kaedah DNA sebagai bukti utama, ia hanyalah sekadar hal yang kecil dalam proses penghakiman. Jadi, adakah kita hendak terima kaedah ini, tanpa merujuk kepada nas-nas syara`???
Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily kecewa dengan isu video seks yang tersebar di negara ummat ISLAM.
Apabila Sheikh Dr Wahbah ditanya tentang isu video seks yang diwar-warkan oleh media dan dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, beliau dengan tegas menyatakan “Ini adalah Syariat Syaitan!!! Adakah kamu mahukan Syariat ALLAH atau Syariat Syaitan??!!! Jangan sekali-kali. Bahkan Syariat Syaitan ini kita patut letak di bawah kaki kita sahaja (pijak)!”
Beliau berasa sedih dan kecewa dengan situasi ini, seterusnya mengajak agar semua ummat ISLAM merujuk kepada al-Quran. Janganlah dipercayai dengan isu yang digembar-gemburkan tersebut.
Sebagai penyelesaian, hendaklah dilakukan islah menggunakan kaedah terbaik iaitu dengan merujuk kepada al-Quran. Usaha mengislahkan manusia agar kembali kepada ALLAH mestilah dilakukan dengan berterusan. Memahami nas-nas al-Quran sesuai dengan kehendak syara` adalah faktor penting untuk menjayakan usaha islah ini.
Beliau seterusnya mengajak agar ummat ISLAM mengambil iktibar dari apa yang berlaku di sekeliling kita seperti gempa bumi, tsunami dan banjir besar. Dengan melihat dan merenung hikmah kejadian ini, akan mengakibatkan Iman kita bertambah kuat dan taqwa kepada ALLAH. Iman yang benar dan kuat adalah ibarat bukit yang kuat, yang tidak dapat dikalahkan. Masalah ummat ISLAM hari ini ialah iman mereka tidak penuh, tidak kuat dan hanya separuh-separuh sahaja sifatnya. Iman yang benar dan kuat adalah iman yang sentiasa bertambah dengan ketaatan.
Semoga kata-kata dan nasihat Sheikh Wahbah az-Zuhaily ini dapat diambil iktibar yang banyak oleh kita semua.
[Catatan Shahmuzir: Tulisan ini berdasarkan apa yang sempat saya catit dari terjemahan oleh Tuan Guru Dr Zulkifli al-Bakri dalam majlis tersebut. Mohon maaf jika ada kelemahan dan kesilapan dari catitan ini. Mudah-mudahan catitan ini bisa memberikan manfaat buat diri saya dan tuan/puan yang sudi membacanya]. WAllahu Ta`ala A`lam…
Syukran Akhi Shahmuzir yang menulis catatan ini; www.muzir.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan