Isnin, 27 Disember 2010

Nabi Ibrahim diugut bapa


Nabi Ibrahim diugut bapa
AYAT 41 dari surah Maryam, bermaksud: “Ceritakanlah (wahai Muhammad) kisah Ibrahim di dalam al-Kitab (al-Quran) ini. Sesungguhnya dia seorang yang sangat membenarkan lagi seorang nabi.”

Nabi Ibrahim as tergolong rasul ulul azmi, yang berdepan cabaran hebat daripada kaumnya, tetapi baginda menghadapi semuanya dengan hati yang cekal dan penuh sabar.


Keturunannya sampai kepada Sam bin Nuh. Antara baginda dengan Nabi Nuh kira-kira 1,000 tahun. Bapanya bernama Azar, sesuai dengan maksud firman Allah dalam surah al-An’am, ayat 74:

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Azar; ‘Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan. Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata.”

Sesetengah pula mendakwa bapanya bernama Tarih, namun kebanyakan mengatakan bapanya Azar. Seperti kata Ibnu Jarir, nama bapa Nabi Ibrahim ialah Azar sebagaimana diterangkan dalam al-Quran.

Mengikut cerita, Nabi Ibrahim dilahirkan di wilayah Babil, Iraq sebagaimana mengikut Ibnu Kathir, katanya: “Yang sahih bahawa Ibrahim dilahirkan di Babil.” Baginda dilahirkan ketika orang tuanya berusia 75 tahun.

Baginda berkahwin sewaktu masih muda dengan Sarah, tetapi dia wanita mandul. Kemudian, baginda berhijrah bersama orang tuanya dan isterinya dari Iraq ke Kanaan (kawasan sekitar Palestin) dan menetap di Haran (tenggara Turki).

Penduduk di kawasan terbabit menyembah bintang dan patung, tetapi Nabi Ibrahim, isterinya Sarah dan anak saudaranya, Luth as terselamat dan terhindar daripada kesesatan itu.

Allah memberi petunjuk kepada Nabi Ibrahim sejak kecil, fikirannya cerdas, mempunyai keazaman dan keberanian tinggi, terutama menghadapi kaumnya yang menyembah berhala.

Bapanya sendiri menyembah berhala dan baginda tidak teragak-agak menegur bapanya, cuma caranya beradab, malah bahasa digunakan sangat lembut ketika berdakwah kepada bapanya.

Nasihat baginda supaya tidak menyembah patung atau berhala adalah betul dan boleh diterima akal, kerana menyembah berhala tiada faedahnya, sama ada kepada diri atau patung itu.

Bagaimanapun, bapanya tidak menerima nasihat berguna itu, bahkan dia terus dalam kesesatan, malah mengugut Nabi Ibrahim.

“(Bapanya) menjawab: ‘Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya, jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati aku, tentu aku akan melontarmu dengan batu dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan aku sepanjang masa.” (Maryam: 46)

Walaupun bapanya berkata demikian, Nabi Ibrahim masih sayangkan bapanya, malah mendoakan keampunan buat bapanya. Baginda berdoa ke hadrat Ilahi supaya bapanya diampunkan.

“Dan ampunkanlah bagi bapaku, kerana sesungguhnya dia daripada orang-orang yang sesat.” (asy-Syu’araa’: 86)

Selepas jelas bapanya tidak mahu mendengar nasihatnya, Nabi Ibrahim melepaskan dirinya dan meninggalkan bapanya untuk meneruskan kehidupan dan perjuangan menyampaikan dakwah Allah.

Diriwayatkan oleh Ibnu Asakir, dari Ikrimah, bahawa ia berkata: “Nabi Ibrahim as digelar dengan gelaran ‘bapa dua tamu’. Saya katakan gelaran ini mungkin kerana Ibrahim ramai tamunya dan dia sangat memuliakan tamu, sehingga tidak mengunjungi seorang pun kepadanya melainkan dia (Ibrahim) memuliakan tetamunya. Dia murah hati sehingga dia menyembelihkan untuk tetamunya dengan haiwan yang lazat rasanya.

Al-Quran menceritakan kisah Nabi Ibrahim bersama tetamunya yang membabitkan malaikat ketika datang untuk membinasakan kaum Lut. Mereka singgah sebentar di rumah Ibrahim untuk memberi khabar gembira kepadanya, iaitu bakal memperoleh anak (Nabi Ishaq).

Ibrahim beranggapan mereka manusia, lalu dengan segera dia mendapatkan keluarganya untuk menyembelih seekor anak lembu, kemudian dipanggang dan diberi kepada tetamu itu.

Namun mereka menolak lalu timbul keraguan pada Nabi Ibrahim yang memandang mereka dengan pandangan pelik, sambil berhati-hati dan berwaspada, hinggalah diberitahu mereka ialah malaikat.

“Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan. Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: ‘salam sejahtera kepadamu!’ Dia menjawab: ‘salam sejahtera kepada kamu.’ (Sambil berkata di dalam hati), mereka ini orang-orang yang tidak dikenali.

“Kemudian, dia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidang kepada mereka sambil berkata: ‘silalah makan’.

“(Selepas dilihatnya mereka tidak menjamah makanan itu), dia berasa takut akan keadaan mereka. (Melihat kecemasannya), mereka berkata: ‘janganlah engkau takut (wahai Ibrahim)’. Lalu mereka memberi berita gembira kepadanya, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan.” (Az-Dzaariyaat: 24-28)
Labels: topik agama

posted by Moderator @ 1:37 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan