Sabtu, 26 Jun 2010

BUKTI KEBENARAN AL-QURAN

BUKTI KEBENARAN AL-QURAN
Yahya bin Aktham, qadhi besar di zaman pemerintahan khalifah al-Ma’mun al-‘Abbasiy menceritakan bahawa al-Ma’mun sering mengadakan majlis diskusi ilmiah yang dihadiri oleh pelbagai golongan masyarakat. Suatu ketika, antara yang hadir adalah seorang lelaki Yahudi yang berpakaian kemas, elok paras rupanya dan harum baunya. Dia petah berbicara, tersusun kata dan indah bahasanya. Apabila majlis bersurai, al-Ma’mun memanggilnya dan bertanya adakah dia Bani Israel? Dia menjawab, ya. Maka al-Ma’mun mengajaknya supaya memeluk Islam dan menjanjikan kedudukan yang baik. Dia menolak dengan alasan mahu kekal di dalam agama nenek moyangnya.

Setahun kemudian lelaki itu datang sebagai seorang muslim. Dia becakap dengan baik sekali tentang kefahaman Islamnya. Setelah majlis bersurai, al-Ma’mun memanggilnya dan bertanya apa yang menyebabkan dia memeluk Islam? Dia menerangkan:

“Setelah beredar dari majlis tuan tahun lepas, aku hendak menguji agama-agama ini. Sebagaimana tuan ketahui, aku mempunyai kemahiran dari segi bahasa dan mampu mengarang dengan baik. Aku mengambil Taurat dan menulis kembali sebanyak tiga naskhah. Ketika menulis itu aku tambah dan buang apa yang aku mahu. Kemudian aku membawanya ke Kanisah (kuil Yahudi), maka mereka membelinya daripadaku.
Selepas itu aku lakukan yang sama terhadap Injil dan aku bawa ke gereja. Mereka membelinya daripadaku.
Dan aku buat pula pada al-Quran, aku tulis tiga naskhah dengan menambah dan membuang ayat-ayat tertentu. Aku tunjuk apa yang aku tulis kepada warraqin (penjual atau pembuat kertas), mereka membelek-belek muka demi muka surat. Apabila mereka menemui penambahan dan pengurangan, mereka mencampakkannya dan tidak membelinya.

Maka aku yakin bahawa Kitab ini terpelihara. Itulah yang menjadi sebab aku memeluk Islam!”

ALLAHU AKBAR!
Posted by Maznah Daud at 8:20 PM 4 comments

Tiada ulasan:

Catat Ulasan