Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“AMALAN RASULULLAH DI AKHIR RAMADHAN
(3 SEPTEMBER 2010 / 24 RAMADHAN 1431H)
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Hari ini kita berpuasa hari ke 24 Ramadhan di mana kita berada di peringkat akhir iaitu tahap amalan yang dijamin masuk syurga. Selari dengan jaminan ini, saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan takwa yang tidak main-main tetapi takwa yang benar-benar bertanggungjawab melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini mampu membina insan beriman, soleh dan berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ini ialah: “AMALAN RASULULLAH DI AKHIR RAMADHAN”
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sepuluh terakhir Ramadhan ini adalah masa kemuncak yang amat bernilai yang perlu direbut oleh mereka yang beramal soleh sepanjang Ramadhan. Kita sedia maklum bahawa dalam bulan Ramadhan terdapatnya satu malam yang penuh kemuliaan, penuh keberkatan yang dinamakan Lailatul Qadar. Pahala beribadat pada malam itu menyamai pahala seribu bulan. Allah SWT menganugerahkan pahala yang besar itu adalah sempena penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah. Dari Baitul Izzaah inilah al-Quran beransur-ansur diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui Jibril. Menurut sebahagian ulama pada malam Lailatul Qadar itu Allah SWT menetapkan umur dan rezeki manusia . Firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 1-5:
Maksudnya: " Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran ini pada malam Lailatul Qadr, dan tahukah kamu apakah malam lailatulqadar itu?. Malam Lailatulqadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka. kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut. Sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar ".
Berdasarkan ayat ini, apa yang menakjubkan kita mengenai malam yang penuh kemuliaan ini ialah para Malaikat yang diakui taat kepada Allah SWT itu juga berduyun-duyun membawa rahmat dari Allah SWT turun ke dunia untuk dikurniakan kepada orang yang soleh. Persoalan besar timbul ialah apakah pengkhususan ibadat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW pada 10 terakhir Ramadhan yang amat wajar kita contohi. Menurut beberapa hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang memetik penerangan Saiyidatina Aisyah RA katanya: Di antara pengkhususan ibadat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah:
Pertama: Menghidupkan malam iaitu sekurang-kurangnya melaksanakan solat Isya’ dan Subuh secara berjemaah di samping mengamalkan ibadat-ibadat yang lain seperti membaca al-Quran dan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT.
Kedua: Bangun bersama ahli keluarga untuk turut membuat pengisian beribadat kepada Allah SWT,
Ketiga: Mengikat kain iaitu merujuk kepada amalan Rasulullah SAW tidur berasingan dengan isteri pada 10 malam terakhir untuk memberi tumpuan beribadat kepada Allah SWT.
Keempat : Rasulullah SAW mandi di antara Maghrib dan Isya’ dan berpakaian indah serta berharum-haruman sepanjang 10 malam terakhir itu.
Kelima: Rasululullah SAW melakukan iktikaf di masjid. Beliau memasuki masjid sebelum waktu Maghrib. Beriktikaf bererti berada sesaat atau sepanjang malam di masjid untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Pada waktu beriktikaf Rasulullah SAW memutuskan hubungan dengan manusia dan aktiviti lain bagi memenuhi hati bermunajat, berzikir dan berdoa kepada Allah SWT.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Ketika para malaikat, Rasulullah, sahabat-sahabat dan orang –orang soleh memberi perhatian khusus beribadat pada 10 malam terakhir akan tetapi terdapat sebilangan umat Islam tidak memberi perhatian berat dan mengambil kesempatan. Mereka lalai dengan kesibukan urusan lain seperti membuat persedian untuk menyambut hari raya. Kita melihat pada malam 10 terakhir ini, masjid-masjid menjadi lengang dan sepi, para jemaah solat tarawih semakin berkurangan, pasaraya-pasaraya menjadi tempat tumpuan, suri rumah pula sibuk dengan persedian untuk hari lebaran seperti mengemas rumah, membuat kuih muih sehinggakan ada dikalangan mereka tidak melakukan ibadat puasa kerana keletihan. Bahkan ada juga yang sanggup melakukan maksiat pada malam itu sehingga mendapat kemurkaan Allah SWT kerana berbuat maksiat dalam keadaan tahu lebih besar dosanya. Mimbar ingin menyatakan bahawa suasana yang sebegini sebenarnya tidak sepatutnya dilakukan oleh kita kerana tahap terakhir inilah kita mesti melipat-gandakan ibadat dengan tidak mensia-siakan peluang yang ada, kerana kita belum pasti lagi sama ada kita berpeluang atau tidak untuk terus bersama dengan Ramadhan pada tahun hadapan.
Perlu diingat juga dalam kesibukan kita beribadat dan membuat persiapan bagi menyambut kedatangan Idulfitri, janganlah kita lalai dan alpa tentang kewajipan yang perlu kita laksanakan iaitu membayar zakat fitrah. Kewajipan ini merupakan pelengkap ibadat puasa dan sebagai penutup kepada kecacatan-kecacatan yang terdapat sewaktu kita mengerjakan ibadat puasa. Tanpa mengeluarkan zakat fitrah pahala ibadat puasa akan tergantung dan tidak dapat menjadi bekalan ke akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Alaa ayat 14-15:
Maksudnya: "Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan dirinya (dengan amal yang salih). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya, serta mengerjakan sembahyang."
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengambil kesempatan sempena dengan sambutan Idulfitri yang bakal menjelang tiba, mimbar ingin untuk menasihatkan sidang jemaah dan umat Islam sekalian supaya menjaga keselamatan di jalanraya. Sebagai orang yang beriman dan bertakwa, sikap banyak bersabar, mematuhi peraturan jalanraya, menjaga keselamatan diri dan orang lain, mematuhi arahan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ), Polis Diraja Malaysia serta agensi yang lain, akan menjadi pelengkap kepada nilai ketakwaan seseorang terhadap Allah SWT. Mudah-mudahan amalan bersabar di jalanraya dapat mengelakkan kecelakaan berlaku di saat kita ingin menyambut hariraya. Menurut sumber PDRM, punca utama kecelakaan di musim perayaan ialah kelalaian dan kesilapan pemandu itu sendiri. Ingatlah, bahawa nyawa isteri, anak-anak dan keluarga kita berada di tangan kita sebagai pemandu!.
Mimbar juga berpesan semasa kita pulang cuti beraya pastikan keselamatan rumah dalam keadaan sempurna dengan pintu dikunci, bekalan elektrik dipadam, memaklumkan kepada jiran serta melaporkan kepada pihak keselamatan ataupun polis semasa ketiadaan kita dirumah.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini mimbar menyeru marilah kita melipatkan gandakan usaha seperti mana yang diamalkan Rasulullah SAW yang mampu menjadi titik perubahan dalam diri kita untuk menjadi insan yang bertakwa dan diredhai Allah SWT di dunia dan di akhirat.Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Dukhaan ayat 3-6:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمَ
Maksudnya” Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur'an itu pada malam yang berkat; kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran. Padanya dijelaskan tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku. Iaitu perkara-perkara dari sisi Kami; sesungguhnya Kamilah yang mengutus Rasul-rasul. Sebagai rahmat dari Tuhanmu; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan